Thursday, January 7, 2010

Kaji Semula Hubungan Dua Hala Malaysia - Mesir


by Harakahdaily

PUTRAJAYA, 7 Jan : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak kerajaan mengkaji semula hubungan dua hala di antara Malaysia dan Mesir ekoran beberapa tindakan Kerajaan Mesir akhir-akhir ini yang dilihat mencabar kesabaran dan prinsip aqidah umat Islam di Malaysia yang mahukan rakyat Palestin dibela.

Desakan itu dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hassan kepada Mentern Luar, Datuk Seri Anifah Aman di pejabat Wisma Putra 1 siang tadi.

Ini termasuk insiden penangkapan seorang pelajar perubatan dari Malaysia yang menuntut di Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi Viva Palestin bagi menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.

Bercakap selepas menyerahkan memorandum di Kementerian Luar Negeri di sini, Nasrudin berkata, tindakan Kerajaan Mesir membina tembok penghalang terowong penghubung di Gaza seolah-olah sengaja menghalang rakyat dan umat Islam Palestin daripada mendapat bekalan makanan, ubat-uabatan dan kewangan.

“DPP menggesa kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungan (dua hala) dengan kerajaan Mesir kerana melihat mutakhir ini Mesir terlalu taat kepada Israel.

“Jika perlu, panggil Duta Malaysia ke Mesir untuk pulang ke tanah air sebagai satu tekanan kepada Mesir kerana negara-negara Islam yang lain sedang memberi tekanan kepada Mesir yang dilihat menjadi boneka kepada Amerika dan Israel,” katanya.

Turut hadir dalam serahan memorandum berkenaan ialah timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani, dan setiausaha, Kamaruzaman Mohamad.

Menurut Nasrudin juga, tindakan Kerajaan Mesir itu jelas bertentangan dengan ketetapan dan prinsip Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) yang termaktub untuk menjaga dan membela nasib umat Islam Palestin.

DPP juga menggesa pihak Kementerian Luar menyiasat laporan bahawa rakyat Malaysia yang ditahan itu tidak mendapat layanan yang sewajarnya dari pihak berkuasa Mesir.

Memorandum berkenaan diterima oleh Setiausaha Politik Anifah, Datuk Norhaidi dan beliau berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Anifah dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi sekali lagi menggesa seluruh warga Malaysia untuk bersama menyertai himpunan aman di kedutaan Mesir esok bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kejam kerajaan negara itu.

“Saya sekali lagi menyeru seluruh rakyat yang prihatin supaya dapat keluar beramai-ramai esok untuk kita sama-sama berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.

“Saya berharap semua rakyat dapat keluar untuk menunjukkan solidariti terhadap penindasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy